Perangilah Rasuah secara habis-habisan

Perangilah Rasuah secara habis-habisan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 31 Mac. - Rasuah tidak syak lagi adalah merbahaya kepada negara dan disebabkan rasuah jentera kerajaan boleh terganggu.
Apabila jentera kerajaan terganggu maka khidmat kepada rakyat pun akan tergendala, dan apabila khidmat tergendala, maka kehidupan yang bahagia yang sekian lama kita nikmati, pastinya akan bertukar jadi malapetaka.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Inspektor Jeneral Polis bertitah demikian sempena lawatan kerja baginda ke Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei, Gadong, di sini.


Kerana itulah terhadap rasuah itu, jelas baginda, ugama kita adalah sangat mengutuknya dan Allah Subhanahu Wata'ala telah melaknat pemberi dan penerima rasuah serta menjanjikan kepada mereka itu neraka-Nya.
Oleh itu, titah baginda, janganlah latih diri mengamalkan rasuah, tetapi perangilah rasuah secara habis-habisan dan selamatkan bangsa dan negara dari rasuah.


“Rasuah adalah penyakit. Rasuah adalah pemusnah kebahagiaan. Mereka yang melakukan rasuah adalah penjenayah. Hukumlah mereka seadilnya," tegas baginda.


Menyebut tentang perasuah dihukum, baginda mengingatkan, supaya hukuman itu hendaklah adil kerana rasuah biasanya dilakukan oleh dua pihak, iaitu penerima dan pemberi.


"Tetapi yang beta sering dapati dalam siaran-siaran, cuma penerima sahaja yang diseret ke pengadilan dan dihukum, sementara pemberinya pula tidak kedengaran.


"Adakah pemberi itu dilindungi, kerana mereka misalnya, bertindak memberikan maklumat bahawa mereka telah diminta atau dipaksa oleh si polan supaya memberi suapan, lalu dengan itu penerima pun diberkas, sementara si pemberi pula dilepaskan begitu saja kerana kita menganggap, tindakan mereka memberi maklumat itu adalah satu jasa dalam bentuk kerjasama, yang membolehkan mereka berhak untuk diberikan perlindungan?" tekan baginda.


Kalau ini betul berlaku, tegas baginda, maka tindakan melepaskan pemberi rasuah dan hanya menghukum penerima rasuah adalah satu tindakan berat sebelah, yang tidak menepati prinsip keadilan, kerana apa pun keadaan, penerima dan pemberi rasuah adalah sama-sama bersalah dan sama-sama dijanjikan dengan neraka Allah.


Dalam perkara tersebut Kebawah Duli Yang Maha Mulia berharap agar perkara tersebut akan mendapat perhatian sewajarnya dari pihak-pihak berkenaan mengenainya.
Reaksi:

0 komentar: