Adat Istiadat Perkahwinan Diraja Brunei Darussalam


BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 3 April. - Suasana persiapan bagi Istiadat Perkahwinan Diraja di antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dengan Yang Mulia Dayangku Raabi’atul ‘Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah semakin terasa kesibukannya dalam menempuh hari yang sangat bersejarah itu.
Gerbang menyambut perkahwinan Diraja Brunei Darussalam

Bagaimanapun, majlis yang penuh dengan adat istiadat diraja itu juga sangat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk negara ini.
Majlis Istiadat Perkahwinan Diraja, insyaaAllah akan dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja yang akan berlangsung pada hari Ahad, 15 Jamadilakhir 1436 Hijrah bersamaan 5 April 2015 Masihi.

Manakala Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja pula akan dilangsungkan pada hari Ahad, 22 Jamadilakhir 1436H bersamaan 12 April 2015M.
Sebagai rasa syukur dan memberkati lagi Majlis istiadat ini nanti, Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga pada hari Isnin, 16 Jamadilakhir 1436H bersamaan 6 April 2015M, sementara Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga akan diadakan pada hari Rabu, 25 Jamadilakhir 1436H bersamaan 15 April 2015M.

Rakyat dan penduduk negara ini khususnya di keempat-empat daerah telah membuat persediaan rapi bagi menyemarakkan dan memeriahkan lagi Istiadat Perkahwinan Diraja yang akan berlangsung selama 11 hari itu.

Setiap premis-premis bangunan dan persekitarannya termasuk kedai-kedai dan jalan-jalan utama sebahagiannya sudah dihiasi indah dengan lampu-lampu cucul serta kain-kain rentang dengan pelbagai corak dan warna.
Ini termasuk pemasangan pintu-pintu gerbang yang menghiasi suasana persekitaran bandar dan jalan di keempat daerah.

Antara lokasi-lokasi gerbang yang dibina termasuklah berhadapan Istana Nurul Iman; Jalan Lebuhraya Sultan Hassanal Bolkiah; Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan; Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan lain-lain.

Sementara itu rumah-rumah persendirian, institusi pendidikan, bangunan-bangunan kerajaan, sektor swasta juga akan mengibarkan Bendera Negara Brunei Darussalam bermula hari Isnin, 16 Jamadilakhir 1436H bersamaan 6 April 2015M hingga hari Rabu, 25 Jamadilakhir 1436H bersamaan 15 April 2015M.

Bagi Pengiran-Pengiran hendaklah mengibarkan bendera peribadi mereka, orang-orang yang dikurniakan gelaran mengibarkan bendera masing-masing dan bendera Negara Brunei Darussalam bagi orang ramai serta di bangunan kementerian dan jabatan masing-masing.

Pembinaan gerbang-gerbang tersebut akan lebih menyemarakkan dan menceriakan lagi suasana istiadat yang penuh bermakna itu nanti.
Suasana seumpamanya jelas menunjukkan bahawa semua lapisan masyarakat di negara ini sama-sama teruja dan memberikan sokongan padu ke arah memeriahkan lagi istiadat berkenaan.
Reaksi:

0 komentar: