Ristaan “Syair Rakis” Pengiran Shahbandar Mohammad Salle

  • Haji Mohd. Salleh Abdul Latif, Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A. Write Award 1990) 



Bismillah itu mula karangan
Gurindam bayu nama timangan
Kisah rancana dagang buangan
Nestapa lara di gunung larangan.

Seni termasuklah karya kreatif sastera apa pun bentuknya, adalah hasil dari kegiatan-kegiatan harian simbolik manusia. Dalam masyarakat manusia, kita tidak sekadar dilingkungi oleh alam fizikal malah juga dilingkari dengan ciptaan-ciptaan dan pengucapan-pengucapan simbolik yang timbul dari kecerdasan otak dan ilusi imaginasi.

Sedihnya, ada di antara sistemlambang manusia, tidak terkecuali seni kreatif sastera, yang dihasilkan itu tidak mudah atau tidak selalu difahami dengan fikiran yang rasional tanpa imaginasi.

Bahasa yang diguna pakai dalam kesusasteraan bukan setakat berfungsisebagai alat perhubungan malah juga memperluas perhubungan itu. Dengankata lain, bahasa dalam kesusasteraan selain mengungkapkan apa yang tersurat, tetapi juga sedaya upaya mencari dan memahami makna apa yang tersirat.

Menurut pakar psikologi, manusia ini dapat dibahagikan kepada dua kelompok: kelompok introvert, iaituseseorang yang lebih sukamemusatkan perhatiannya kepada fikiran dan perasaannya sendiri, dan kelompok extrovert, iaitu orang yang lebih mementingkan hal lahirah daripada hal batiniah diri sendiri.

Manusia introvert cenderung bersifat negatif apabila berhadapan dengan masalah-masalah. Sebaliknya manusia extrovert pula cenderung bersifat positif dan tidak ragu-ragu mengeluarkan pendapat dan ideanya.

Namun dalam karya sastera, apapun bentuknya prosa, puisi mahupun syair, sebahagian besar membayangkanperibadi penciptanya. Malah kedua-dua sikap ini nampak. Manusiaintrovert menulis dalam bentuk objektif iaitu penulisan tanpa menonjolkan perasaan penulis. Dan ini berbeza dengan manusia extrovertyang menulis dan mencipta dengan penuh perasaan, kajian mendalam pendapatnya.
Badaruddin H.O. melalui esei sasteranya “Puisi Melayu danPerkembangannya di Brunei”menjelaskan bahawa “Syair Rakis” tidaklah semata-mata bersifat cerita riwayat yang disulami dengan nasihat-nasihat, tetapi lebih banyak bersandarkan kepada ilmu pengetahuan, pengalaman, dan keyakinan diri sendiri sehingga pengarangnya berani berterus terang mengkritik mana-mana perkara yang difikirkannya tidak wajar.

Benar, dengan adanya beberapa karya historiografi berbentuk syair kita mendapati bahawa pengarang zaman bahari telah dapat menguasai bahasa dengan baiknya. Dalam syair terdapat unsur estetika, di samping naratifnya yang istimewa. Tambahan pula pada zaman dahulu syair amat popular dan diminati oleh masyarakat Melayu yang tinggal di Gugusan Nusantara. Bahkan mereka yang pandai menambang syair pun dikagumi, mendengarnya pun begitu mengasyikkan.
Hemat penulis ialah apabila kita selesai membaca atau mendengar karya sastera, baik prosa mahupun puisi termasuk syair, gurindam, seloka dan lain-lain, kita akan dapatmerasakan satu kesatuan yangharmonis. Ini adalah disebabkan adanya tiga unsur utama yang terdapat dalam karya sastera.

Pertama, unsur intelektual. Kedua, unsur emosi. Ketiga, unsur imaginasi. Ketiga-tiga unsur ini terdapat dalam karya kreatif sastera yang mantap dan baik. Hasil sastera yang bermutu setentunya pula membawa perutusan dan hasrat tinggi lagi murni yang menjadi pendorong dalaman pengarangnya menhasilkan karya sastera tersebut.

Dalam hal ini “Syair Rakis” adalah berlatar belakangkan sejarah di samping digolongkan sebagai sastera rakyat. Syair ini memperlihatkan keistimewaan dan ketinggian bahasa Melayu itu sendiri yang banyak mengandungi unsur tempatan, iaitu kata-kata daripada bahasa Melayu Brunei. Contohnya bait-bait berikut:
Syarak dan resam andang hukumnya.
Pada imatan tiada kusangka.

Semana-mana berhati luka.
Cukuplah juga janganlah gangsal.
Kata-kata Melayu Brunei seperti “andang”, “imatan”, “semena-mena”, dan “gansal” itu adalah perbendaharaan kata-kata Melayu Brunei yang klasik. Andang bermaksud sememangnya atau sedari mulanya. Imatan bermaksud pendapat atau pandangan. Semana-manabermakna tiba-tiba. Gangsal bermaksud ganjil atau tidak genap. Seorang pengarang, pengkarya atau pencipta seni keratif sastera menghasilkan sesuatu yang unik dan asli. Perhatikan serta teliti pistaran madah bait-bait 120, 121 dan 122 “Syair Rakis” yang begitu mendalam maknanya waima menggunakan bahasa yang mudah dan berirama namun pijar bertenaga:

Tuanku baik fikir sedikit
Supaya tahu nyaman dan sakit
Dengan Inggeris sudah berakit
Marikan lagi akan memipit.
Aduhai Tuanku Seri Betara
Yamtuan Besar di Singapura
Sebab terkurang budi bicara
Akhir kemudian tiada terkira.
Memakai rundingan seorang Tambi
Anak Keling dengan Benggali
Mamakai hukuman yang buta tuli
Rajanya lalai tiada peduli.

Ucapan “Marikan” yang digunakandi sini ialah istilah bagi Amerika. Madah ini merupakan beberapa pandangan mengenai nasib masa depan bangsa Brunei yang bermula dengan persahabatan erat (iaituperjanjian) dengan Inggeris. Ikatanikatanperjanjian dengan Inggeris bukan sahaja menjadikan negeri sebagai sebuah negeri naungan (bahasa lembut bagi penjajahan) malah cara berfikir juga turut dijajah. Bahkanjika tidak difikirkan secara bijaksana rakyat Brunei sendiri akan menjadi “kuli” dan “hamba” di negeri sendiri seperti madahnya:

Inggeris datang dari England
Pulau Labuan jadi pangkalan
Jikalau jauhari kurang handalan
Di sanalah ia berbuat jalan.

Nah, lihat betapa jauhnya pemikiran yang berbentuk tinjauan politik masa depan warga Brunei yang diutarakanoleh Pengiran Shahbandar Mohammad Salleh. Penyair ini meniupkan semilir renaisans dan kebangkitan semula untuk berfikir. Dan berfikirlah secara matang untuk membangkitkan daya juang dan jati diri yang unggul demi bangsa, agama dan tanahair.

Yahya M.S. dalam ucap utama Pertemuan Sasterawan Brunei Ke-2 pada 25-27 Ogos 2003 antara lain berkata bahawa: “Karya kesusasteraan itu ialah cermin kehidupan bangsa, iaitu yang memberi gambaran tentang sesuatu bangsa itu, cara hidupnya, adat istiadatnya, kewajipan atau kemundurannya, masalah masyarakatnya, ketinggian akhlak atau kerosakan moralnya. Semua ini tidak ‘khali’ dari garapan para saterawan kerana dari sanalah mereka menimba ilham dan mengemukannya kepada bangsa mereka.”

Menurutnya, orang akan dapat membaca keadaan masyarakat melalui karya sastera. Sukat-sukat dan timbangan buruk baik, bernilai atau tidak adalah dari sana dan masyarakat itu sendirilah yang menilai sebelum orang lain.

Benar, makna dari karya itu baru timbul setelah kita tanggapi ia dalam segala perinciannya. Kesatuan karya pula terletak pada komponenkompenan penting bentuknya. Dalam syair dan puisi lirik pula unsur-unsur yang penting adalah metafora, perkembangan imej, pola-pola bunyi dan simbol.

Prof Madya Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid dalam bukunya “Menyuruki Syair Rakis” terbitan Universiti Brunei Darussalam, 2006, menjelaskan bahawa dalam konteks “Syair Rakis” semua nasihat yang disampaikan oleh pengarangnya disulami dengan tamsil ibarat dan cabutan dari peristiwa sejarah serta perbandingan yang sumbernya daripada alam.

Kerana itu, “Syair Rakis” bukanlah sebuah cerita yang mempunyai alur cerita, iaitu yang bermula dari introduksi, memperlihatkan halangan-halangan, klimiks, dan penyelesaian seperti syair-syair sejarah lain.

Menurutnya lagi, perlu ditegaskan bahawa Syair Rakis adalah sebuah syair nasihat, oleh itu pengarangnya tidak terlepas dari menggunakan unsur alam dan pelakunya, tujuannya untuk memperkuat hujah dan tegurannya. Atas dasar sedemikian dan ditambah lagi dengan keindahan bahasa, dan pemeliharaan struktur penulisan syair, maka Syair Rakis tidak terkeluar dari kategori sebuah karya sastera, ia bukan syair sejarah.

Sesungguhnya nasihat yang baik itu jika diberikan secara berkesan, ia akan kekal dan ingatannya bertahan lama. Selagi seseorang itu menghayati dan memptaklatikkan nasihat itu dia tetapakan tetap ingat kepada orang yang menasihatinya. Ada juga ketikanya nasihat-nasihat yang diberikan itu disertai dengan ancaman. Ini adalah salah satu cara orang-orang dahulu memberi nasihat agar nasihat itu didengari secara lestari.

Tradisi sastera yang sedia ada, nilai-nilai dan norma sosial serkap pengarang terhadap kehidupan yang dijalani sesungguhnya turut membentuk dan membantu bahasa san struktur tulisannya. Keinginan untuk berkomunikasi melalui karya yang dihasilkan membuat ia berada dalam konflik dan terdedah untuk bersedia melakukan kompromi.

Mahmud Haji Bakyr melalui eseinya “Cara Mendekati Pengajian Sastera Lama” (1983) menukilkan bahawa kesusasteraan yang dihasilkan oleh sesuatu bangsa itu tidak terlepas daripada cita-cita dan hasrat bangsa yang menghasilkan sastera itu pada satu zaman yang tertentu. Dan problem-problem yang ditimbulkan dalam sastera itu merupakan problem-problem yang dihadapi oleh bangsa pada zaman itu.
Luahan pendapat di atas semacam selari dengan hemat Zefri Arif Brunei yang dimuatkan dalam bukunya “Di Balik Kertas dan Pentas” terbitan Universiti Brunei Darussalam (2003) yang menjelaskan bahawa “setiap manusia sastera harus mempunyai projeksi dan rangsangan tersendiri sehingga terhasilnya sebuah karya. Projeksi tersebut bertolak dari dalam diri penulis sendiri kerana karya yang dihasilkan adalah lahir dari ‘rasa’ batin melalui kod-kod pengucapan yang dilontarkan dari kotak fikir berdasarkan perbendaharaan kata yang dimiliki dan difahaminya. Pemahaman terhadap unsur kata dalam karya sastera menjadi persoalan prima kerana bentukan kata-kata tersebut boleh menerbitkan makna yang pelbagai”.

Namun pada hemat penulis, dalam pengkajian sastera, suatu dasar, iaitu menghubungkannya dengan sejarah, psikologi, dan kemasyarakatan harus ditekankan. Atas dasar sedemikianlah baru kita dapat merasakan pengertian dan kepentingan sastera lama itu. Lalu apakah faedahnya meneliti dan mengkaji sastera lama atau sastera klasik contohnya Syair Rakis ini?

Jawapan kita agak mudah: Amerika, England, Belanda dan Jerman misalnya, sudah begitu maju dalam bidang teknologi maklumat, lapangan sains, dan bidang-bidang teknik yang lain namun yang jelas pusat-pusat pengajian tinggi dan penerbit-penerbit di sana, masih dan tetap berusaha gigih dalam bidang pengajian sastera klasik mereka.

Dalam konteks inilah bangsa di zaman bahari sangat gemar bersyair dan mendengar syair kerana syair itu merupakan syair sastera rakyat di samping dijadikan sebagai penglipur lara ia juga sebenarnya menjadi media perakam pelbagai falsafah, perutusan dan pemikiran yang diluahkan dalam bentuk seni sastera yang berirama, apalagi orang-orang Melayu dahulu kadang-kadang ingin menyalurkan hasrat mereka melalui syair dan pantun kerana difikirkan cara itu lebih halus dan lebih berkesan sesuai dengan adat resam orang-orang Melayu yang turun-temurun, maka hasrat dan perasaan yang sedemikian disebutkan dalam pantun:

Belatak oleh menukar
Ditaruh di dalam kebun
Dikatakan terlalu sukar
Baik ditaruh di dalam pantun.

*kutipan, sumber asli Pelita Brunei

Reaksi:

0 komentar: