Riwayat Al-Imam Muhammad bin Idris al-Shafi'i



 . . . . .

Berikut saya bawakan intipati 10 tajuk ceramah yang telah disampaikan:
Al-Imam a-Shafi’i juga dikenali dengan panggilan “al-Mutallibi” yang dinisbahkan kepada keturunan Abdul Mutallib, juga dipanggil “Abu Uthman” yang dinisbahkan kepada nama anak sulungnya Uthman. Beliau dilahirkan pada tahun 150H / 767M di Gaza iaitu sebuah pekan kecil di Asqalan, di negeri Palestin. Ini adalah pendapat Ijmak menurut al-Imam al-Nawawi.

Nama penuh al-Imam al-Shafi’i ialah Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Utman bin Shafi’ bin Saeb bin Ubayd bin Abd Yazid bin Hisman bin Abdil Muttalib bin Abdil Manaf bin Qusay. Beliau adalah seorang daripada bangsa Qurayish yang sampai kepada keturunan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alayhi wa Sallam. Namun segelintir pengikut fanatik Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki yang iri hati kepadnaya telah cuba menimbulkan keraguan tentang salasilah keturunan al-Imam al-Shafi’i yang mendakwa kononnya beliau adalah keturunan Mawali iaitu bangsa Arab kasta rendah bertaraf hamba kepada Abu Lahab. Dakwaan karut ini telah disanggah sekeras-kerasnya oleh ramai ulama tersohor yang antaranya iaitu al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, al-Imam al-Bukhari, al-Imam Muslim bin al-Hajjaj, al-Imam al-Subki, al-Imam Ahmad bin hanbal, dan ramai lagi yang mengesahkan bahawa al-Imam al-Shafi’i adalah berketurunan Quraysh Mutallibi menurut kesepakatan Ahli Naqli (pakar al-Qur’an dan Hadisth).



Oleh yang demikian, tahap kecintaan al-Imam al-Shafi’i terhadap Rasulullah dan Ahlil Bayt amat tinggi sehingga hal ini diambil kesempatan oleh mereka yang membenci dan iri hati kepada al-Imam al-Shafi’i dengan menuduhnya sebagai cenderung kepada Shiah.

Ayahnya telah meninggal dunia pada masa beliau berumur dua tahun. Tanggungjawab membesarkannya terletak sepenuhnya pada bahu ibunya Fatimah binti ‘Ubaydillah yang berasal dari Yaman daripada Kabilah Uzdi.

Menurut qaul mu’tamad daripada al-Imam al-Bayhaqi dan Abu Nu’iym, al-Imam al-Shafi’i telah berkahwin dengan Zuhriyyah binti Abi Zararah al-Zuhri tetapi menceraikannya dan berkahwin dengan Hamdah binti Nafi’ bin ‘Anbasah bin ‘Amru bin Uthan, iaitu seorang wanita berketurunan Sayyidina Uthman bin ‘Affan.

Selain itu, al-Imam al-Shafi’i juga mempunyai tiga orang hamba wanita bernama Dananir, Fawz, dan Sikkah al-Sawda’. Al-Imam al-Shafi’i telah dikurniakan empat orang cahaya mata, iaitu ‘Uthman, Zaynab, dan Fatimah hasil perkongsian hidupnya bersama istrinya Hamdah, seorang anak lelaki al-Hasan / Abu al-hasan daripada hambanya Dananir yang meninggal dunia ketika masih bayi. Perkara ini jelas disebutkan sendiri oleh al-Imam al-Shafi’i dalam kitabnya al-Umm, bab al-Wasiyyah dan al-Sadaqah.

Sejak muda lagi, al-Imam al-Shafi’i telah menjadikan al-Qur’an sebagai pendamping hidupnya. Setiap kali membaca al-Quran beliau sampai oada ayat-ayat rahmah, beliau akan berhenti dan berdoa dengan penuh khusyuk dan penuh harapan supaya dirinya dan seluruh orang-orang yang beriman mendapat rahmat Allah. Tatkal sampai pada ayat-ayat azab pula, beliau berhenti dan berdoa dengan penuh khusyuk dan rasa takut memohon supcaya dirinya dan seluruh orang-orang mukmin dihindarkan daripada azab tersebut. Juga diriwayatkan bahawa al-Imam al-Shafi’i menghatamkan 30 kali al-Qur’an dalam masa sebulan dan menggandakananya 60 kali pada bulan Ramadan.

VIDEO Dr Abdul Nazir bin Haji Abdul Rani - Pengarah Pusat Penyelidikan Mazhab Shafi’i Universitas islam Sultan Sharif Ali Negara Brunei Darussalam


Al-Imam al-Shafi’i terkenal dengan sifat taqwa dan wawark.

Ibnu Abi Hatim telah membuat rumusan khas satu bab dalam kitabnya “Adab al-Shafi’i wa Manaqibuhu” mengenai ketaqwaan dan kewarakan al-Imam al-Shafi’i.

diriwayatkan bahawa pada usia 40 tahun, al-Imam al-Shafi’i sudah berjalan menggunakan tongkat. Apabila ditanyakan kepadanya tentang hal demikian, beliai menjawab “aku berjalan menggunakan tongkat supaya aku sentiasa ingat yang aku berkelana di bumi Allah (musafir di dunia menuju ke alam akhirat)”.

Beliau juuga merupakan seorang ilmuan yang amat zuhud dan sentiasa reda dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah kepadnaya. Semasa hidupnya beliau sering ditimpa sakit. Sulayman bin Dawud al-Mahdi meriwayatkan tetang kezuhudan al-Imam al-Shafi’i “ketika sedang sakit, beliau (al-Imam al-Shafi’i_ akan berkata : andainya kesakitan ini membuat Mu ya Allah reda kepada ku, maka tambahkanlah lagi sakit ini”.

L-Imam al-Shafi’i juga terkenal sebagai seorang yang bijak, tajam pemahaman dan ingatannya. Diriwayatkan bahawa beliau telah menghafal al-Qur’an seluruhnya dan mendalami ilmu yang terkandung di dalamnya pada usia seawal tujuh tahun, dan hafal isi kandungan kitab al-Muwatta karangan al-Imam Malik sebelum berguru dengannya pada usia 10 tahun lagi.

Beliau juga seorang yang teliti dan hidup bersistematik. Beliau telah membahagikan malam kepada tiga bahagian, 1/3 malam untuk beribadah, 1/3 malam mentelaah ilmu, dan 1/3 malam lagi untuk tidur.

Selain itu, al-Imam al-Shafi’i juga sangat menjaga penampilan diri sesuai dengan norma dan tuntutan Syarak. Beliau juga seorang yang pemurah dan dermawan menurut riwayat Abu Thur dan Muhammad bin Abdillah bin al-Hakam.

Beliau juga suka merendah diri di hadapan para ulama dan tidak pernah meletakkan dirinya setanding atau setaraf dengan ulama-ulama lain, bahkan memuji dan menyanjung tinggi para ulama.

Keadaan hidup yatim dan miskin bukanlah menjadi penghalang kepada al-Imam al_Shafi’i untuk menimba ilmu pengetahuan hingga sampai ke puncak menara gading yang paling agung. Kegigihan al-Imam al-Shafi’i menuntut ilmu telah mengubah kehidupannya daripada seorang yang miskin harta menjadi seorang ilmuan Islam yang agung. Beliau telah menuntut ilmu daripada individu-individu yang amat thiqah di mana pengakhiran sumbernya adalah Rasulullah Sallallahu ‘Alayhi wa Sallam. Tiap-tiap guru itu ada kaliber dan wibawa tersendiri, masing-masing faqih, dan memiliki karya agung dalam zaman mereka.

Di Mekkah, al-Imam al-Shafi’i mendampingi al-Imam Muslim bin Khalid al-Zinji, bertaraf Tabi’ al-Tabi’in yang sempat hidup sezaman dan menadah ilmu generasi pertama para Sahabat Rasulullah Sallallahu ‘Alayhi wa Sallam. Beliau merupakan Mufti Mekkah dan Imam Masjidil Haram ketika itu. Atas beberapa kelebihan yang dimiliki al-Imam al-Shafi’i,beliau telah diizinkan oleh gurunya al-Zinji untuk berfatwa pada usia seawal 15 tahun.

Sesekali al-Imam al-Shafi’i berulang-alik belajar Bahasa Arab daripada Kabilah Huzayl dari yaman, iaitu pecahan dari bangsa Arab mereka adalah yang paling fasih kerana belum pernah diasimilasi dengan bahasa-bahasa asing.

Pergaulan al-Imam al-Shafi’i dengan bangsa Arab Huzayl telah membina kepakaran beliau dalam bahasa, syair, veterinary, sejarah, dan salasilah keturunan sesuatu bangsa. Perkara ini ada diriwayatkan oleh al-Imam al-Bayhaqi dalam satu bab khusus bertajuk “MaYustadallu bihi ‘ala Ma’rifatihi bil Asami wal Ansabi wat Tarikh” (Bukti kepakarannya dalam bidang vaterinar, salasilah, dan sejarah).

Kembara ilmu al-Imam al-Shafi’i diteruskan di Madinah. Di sana beliau mendampingi al-Imam Malik pucuk pimpinan ulama-ulama fiqh dan Imam Madrasah al-hadith di Madinah. Al-Imam al-Shafi’i mendampingi dan mengaut banyak ilmu daripada al-Imam Malik untuk tempoh lebih kurang 16 tahun sehingga beliau menghembuskan nafas akhir pada tahun 179H / 795M.

Kewafatan kedua-dua orang gurunya al-Imam Muslim al-Zinjil di Mekkah dan al-Imam Malik di Madinah memberi tambaran hebat kepada al-Imam al-Shafi’i. Dengan hati remuk, beliau membawa diri berpindah ke Najran di Yaman. Kebetulan pula beliau mendapat tawaran kerja daripada gabenur di sana sebagai Qadi di pejabat pentadbiran kerajaan. Beliau membuktikan dirinya seorang yang jujur, tidak pernah menerima rasuah, dan sangat lantang mendedahkan salah laku dan menentang kezaliman pemerintah.

Kerana jiwa yang sentiasa dahagakan ilmu, disamping bekerja al-Imam al-Shafi’i memacu langkah kakinya bertemu dan berguru dengan Muhammad Abu Abdul Rahman Hisham bin Yusuf al-San’a, Qadi San’a. Beliau adalah merupakan barisan para Ashabul Manaqib (golongan ulama paling berkaliber) seperti yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bayhaqi.

Di Najran juga merupakan ujian paling getir yang pernah dihadapi oleh al-Imam al-Shafi’i apabila beliau ditangkap kerana dituduh cenderung kepada Shiah. Dalam keadaan tangan dan kaki dirantai, beliau dikerahkan berjalan kaki dari Yaman dan diestradisi ke Baghdad.

Beliau diheret keliling kota Baghdad dan dihadapkan ke Mahkamah pengadilan Kahlifah Harun al-Rashid. Dengan keikhlasan, kejujuran, Kepetahan dan kecerdikannya serta mendapat pembelaan daripada Muhammad bin al-Hasan al-Shaybani, murid kepada al-Imam al-Hanafi. al-Imam al-Shafi’i dapat menyangkal pertuduhan tersebut dan dibebaskan. Selepas pemerintah menyaksikan sendiri kehebatan penghujahan dan kefaqihan al-Imam al-Shafi’i, maka bermula dari situlah namanya menjadi sebutan di kalangat masyarakat di Iraq.

Kembara ilmu al-Imam al-Shafi’i tidak terhenti di situ. Selepas insiden ini, al-Imam al-Sgafi’i semakin rapat dengan al-Imam al-Shaybani dan beliau semakin giat menumpukan pembelajarannya dalam bidang fiqh Ahli Ra’yi (menggunakan akal dalam pengambilan hukum seperti mantiq dan qiyas) yang diasaskan oleh al-Imam Abu Hanifah.

Hasil daripada menuntut ilmu di Iraq, al-Imam al-Shafi’i telah dapat menggabngkan pendapat dua aliran iaitu yang diterajui oleh Ahli Ra’yi di Iraq dan yang diterajui oleh Ahli Hadith di Madinah. Kejayaan al-Imam al-Shafi’i menautkan kedua-dua ilmu ini dan menghimpunnya dalam satu metodologi ilmu telah menghasilkan satu kombinasi dan formula disiplin ilmu pintar yang dipanggil sebagai “Ilmu Usul al-Fiqh”.

Pada awal fasa kelana keilmuannya, al-Imam al-Shafi’i sangat berpegang dan tidak pernah membelakangi pendapat gurunya al-Imam Malik. Di Iraq al-Imam al-Shafi’i mengeluarkan ijtihad-ijtihad yang disandarkan kepada ruang lingkup ilmu Fiqh yang dipelajarinya secara khusus daripada al-Imam Malik. Ijtihad tersebut disebut sebagai Qawl Qadim (/pendapatalama al-Imam al-Sahfi’i). Di sana, al-Imam al-Shafi’i mula mengarang kitab-kitabnya iaitu “al-Hujjah” dan “al-Risalah al-Qadimah”.

Selepas mendalami perbagai perincian ilmu, kefahaman dalam bidang al-Fiqh yang semakin mendalam, dan bakat berijtihad yang semakin terserlah, akhirnya al-Imam al-Shafi’i memilih untuk berpegang kepada pendirian sendiri.

Pada tahun 199H / 815M, iaitu selepas perlantikan Khalifah al-Ma’mun pada tahun 198H / 814M, dengan niat mengembangkan pemikiran dan memperkenalkan “fiqh baru” yang belum pernah diterokan oleh ilmuan terdahulu, al-Imam al-Shafi’i bertekad untuk berpindah dan menetap di Mesir. Kedatangannya ke Mesir juga adalah atas undangan gabenur Mesir waktu itu yang mendapat tahu tentang kehebatan ilmu al-Imam al-Shafi’i. Bagai pucuk ulam mendatang, al-Imam al-Shafi’i tidak menolak tawaran tersebut. Menurut al-Imam al-Rabi’ al-Muradi, al-Imam al-Shafi’i mengetahui bahawa masyarakat Mesir pada waktu itu berpecah kepada dua aliran mazhab, iaitu kelompok fanatik Mazhab Hanafi dan kelompok fanatik Mazhab Maliki. Al-Imam al-Shafi’i behasrat untuk menyatukan mereka dengan memperkenalkan fiqh baru dan berazam supaya masyarakat di situ melupai ikutan mazhab masing-masing.

Di Mesir, beliau telah menggegarkan pendirian orang awam yang terlalu taksub kepada Mazhab Maliki dan Hanafi. Al-Imam al-Shafi’i memperincikan semula kitab-kitab karangannya di Iraq dan terhasillah kitab “al-Umm” yang diadaptasi dari kitab al-Hujjah, dan “al-Risalah al-Jadidah” iaitu adaptasi daripada kitab al-Risalah al-Qadimah. Di Mesir juga, al-Imam al-Shafi’i mengarang kitab “Ikhtilaf al-Ahadith” iaitu karya himpunan hadith yang berbeza dengan metod gurunya al-Imam Malik. Karya-karya baru ini mencerminkan pandangan dan idea pemikiran fiqhnya yang tersendiri yang dikenali sebagai Qawl Jadid (pendapat baru al-Imam al-Shafi’i) dan memperkenalkannya di Mesir. Ternyata al-Imam al-Shafi’i telah membuktikan tekad dan keazamannya mengubah realiti masyarakat Mesir setelah menetap di sana. Dengan memperkenalkan fiwh baru, akhirnya beliau telah berjaya menyatupadukan saf-saf ummah yang terpecah dan mengharmonikan dua aliran yang paling berpengaruh di sana ketika itu.

Catatan riwayat menjelaskan bahawa keahlian al-Imam al-Shafi’i dalam bidang ilmu tidak hanya terbatas dalam bahasa Arab, sastera, vateriner, salasilah, sejarah, hadith, Fiqh dan Usul al-Fiqh sahaja, bahkan merangkumi disiplin ilmu agama yang lain seperti Tafsir, Qira’at, Ulum Qur’an, dan aqidah. Abu Husayn al-Basri dan al-Imam al-Bayhaqi meriwayatkan bahawa al-Imam al-Shafi’i arif tentang ramalan berdasarkan kajian bintang yang dikenali sebagai bidang astrologi. Bahkan dikatakan juga mahir dalam fisiognomi (ilmu firasat).

Al-Imam al-Sahfi’i wafat pada malam Jumat, hari terakhir dalam bulan Rejab tahun 204H / 820M pada usia muda 54 tahun. Beliau dimakamkan di tanah perkuburan Bani Abdil Hakam yang kemudiannya dibina sebuah kubah di atas pusaranya oleh al-Malik al-Kamil pada tahun 608H / 1212M dan masih wujud hingga sekarang.

Menurut qawl yang paling muktamad di kalangan ramai sejarawan dan pakar antologi teks sejarah, beliau wafat akibat daripada sakit buasir yang sudah lama dideritainya disebabkan terlalu banyak berjalan dalam pemusafiran menimba ilmu selain kerap duduk dalam tempoh yang lama ketika mengajar atau belajar.

Sungguhpun al-Imam al-Shafi’i talah lama meninggalkan kita, namun namanya masih tetap harum semerbak hingga ke hari ini. Namanya tetap dikenali di mana-mana dan mazhabnya tidak luput ditelan zaman bahkan terus berkembang dengan pesat hasil usaha keras murid dan pengikut al-Imam al-Shafi’i yang setia menyebarkan pemikiran dan ajaran mazhabnya.

Keunikan dan kesistematikan metodologi ilmu Mazhab Shafi’i menjadikannya sangat berpengaruh sehingga mampu menarik ramai pengikut dari pelbagai negara seperti Mesir, bahagian Barat Arab Saudi, Syiria, yaman, Bahrain dan juga negara-negara Islam di rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Malaysia dan Negara Brunei Darussalam. Dengan keramaian pengikutb ini, secara sedar atau tidak telah menjadikan Mazhab Shafi’i sebagai mazhab kedua terbesar ikutan umat Islam di seluruh dunia selepas Mazhab Hanafi.

 . . .




ini adalah penggalan kesimpulan yang dikemukakan oleh Yang Mulia Dr Abdul Nazir bin Haji Abdul Rani - Pengarah Pusat Penyelidikan Mazhab Shafi’i Universitas islam Sultan Sharif Ali Negara Brunei Darussalam dalam Majlis Penutupan Ceramah umum Kefahaman Mazhab Dhafi’i 2015 tertanggal 07 Jamadilakhir 1436H bersamaan 28 Mac 2015M bertempat di Dewan Jubli, Universiti Islam Sharif Ali (UNISSA) Negara Brunei Darussalam.
Reaksi:

0 komentar: